Wednesday, January 28, 2009

Ampunkan Aku Tuhan

Ingin kutarik tanganmu
Biar kugenggam jemarimu
Akan kurenung dalam matamu
Mencari-cari di mana gembiramu
Menangislah......
Luah segala beban hatimu
Lepas segala sakit batinmu

Ingin kudakap tubuhmu
Rapat mengenai dadaku
Biar basah baju putihku
Dengan titisan airmata dukamu
Yang dah lama mengalir
Tak mahu kering
Tak mahu berhenti

Ingin tekap cuping telingamu di dadaku
Biar kau tahu betapa bergelora jiwa
Melihat sengsaramu
Memandang deritamu

Biar kau tahu aku juga merasa himpitan seksa
Yang memijak hati bersih putihmu
Yang menganggu tidur malammu
Yang mengusir tenang sarapan pagimu
Yang menghina maruah dirimu
Yang memandang sepi rayuanmu

Biar kau tahu betapa aku merasa bersalah
Membiarmu terus menangis
Hanya memandang potret-potret gambarmu
Sedang kau mahu lebih dari itu
Aku mahu berlari ke arahmu
Menanggung malu untukmu
Tapi aku tak mampu
Maafkan aku
Ampunkan aku Tuhan
Ampunkan aku Tuhan
Ampunkan aku Tuhan

Kerana membiar derita Palestin
Kerana masih ketawa gembira
Sedang Palestin tak kering airmata
Sedang Palestin tak kering darah
Sedang Palestin dah tak berumah
Sedang Palestin dah tak beribu tak berbapa
Sedang Palestin kesejukan di malam dingin
Aku kehangatan berselimut tebal
Lena dibuai mimpi-mimpi

No comments: