Saturday, January 17, 2009

Mahu Kau Tahu Semua Cerita

Takkanlah setitis air mata pun tak pernah jatuh,
Takkanlah sesaat sedih pun tak pernah terasa,
Takkanlah sekelumit resah pun tak pernah ada,
Takkanlah sedetik pilu pun tak pernah hadir,

Sekeras mana agaknya hati kau,
Sepejal mana agaknya jiwa kau,
Sekejam mana agaknya diri kau,
Sebesar mana agaknya ego kau,

Takkanlah sengsara aku ini tak boleh kau rasa,
Takkanlah rintihan aku ini tak boleh kau dengar,
Takkanlah luka aku ini tak boleh kau lihat,
Takkanlah derita aku ini tak boleh kau mengerti,

Air mata tak pernah dapat berhenti,
Terjerit melolong menahan seksa zahir dan batin,
Melilau mata mencari-cari kalau di situ ada tenang,
Berlari-lari lelah mahu dikisahkan segala kekalutan,

Mahu kau tahu semua cerita,
Mahu kau dengar semua keluh hati,
Mahu kau mengerti semua rayu,
Mahu kau memujuk semua rajuk,

Dah lama bukan sehari,
Sejarah pun tak pernah berhenti mencatat,
Dah lama bukan seminggu,
Penglibur lara saja tak pernah penat bercerita,

Cinta apa itu?
Bohong belaka atau sekadar manis bibir?
Sayang apa itu?
Memandang pun malas
Inikan pula mahu berpimpin tangan,
Menarik lengan memeluk tubuh,

Dia saudara aku,
Sama darah dengan kau,
Dia ada hati perasaan,
Sama macam kalbu satu-satunya milik aku,

Berceritalah pada semua yang kenal,
Bercelotehlah pada semua yang tahu,
Membebellah pada semua yang tuli pekak,
Beria-rialah macam gembira bulan jatuh ke riba,

Suakanlah jemari, sekadar mampu yang ada,
Hulurkanlah tolong, sekadar kudrat yang bersisa,
Nikmat sikit pun bantulah jua,
Syukur kita, simpati kita, hanya seteguk air sejuk pun,
Mereka anggap emas sebesar Gunung Uhud.

Tamat....

Saya harap puisi ini membuka mata hati kalian,
Untuk bangun dan bangkit membantu saudara kita,
Di Palestin.
Hulurkan derma,
Boikot produk Amerika dan sekutunya,
Doa kita sangat membantu mereka.

No comments: