Wednesday, January 28, 2009

Ampunkan Aku Tuhan

Ingin kutarik tanganmu
Biar kugenggam jemarimu
Akan kurenung dalam matamu
Mencari-cari di mana gembiramu
Menangislah......
Luah segala beban hatimu
Lepas segala sakit batinmu

Ingin kudakap tubuhmu
Rapat mengenai dadaku
Biar basah baju putihku
Dengan titisan airmata dukamu
Yang dah lama mengalir
Tak mahu kering
Tak mahu berhenti

Ingin tekap cuping telingamu di dadaku
Biar kau tahu betapa bergelora jiwa
Melihat sengsaramu
Memandang deritamu

Biar kau tahu aku juga merasa himpitan seksa
Yang memijak hati bersih putihmu
Yang menganggu tidur malammu
Yang mengusir tenang sarapan pagimu
Yang menghina maruah dirimu
Yang memandang sepi rayuanmu

Biar kau tahu betapa aku merasa bersalah
Membiarmu terus menangis
Hanya memandang potret-potret gambarmu
Sedang kau mahu lebih dari itu
Aku mahu berlari ke arahmu
Menanggung malu untukmu
Tapi aku tak mampu
Maafkan aku
Ampunkan aku Tuhan
Ampunkan aku Tuhan
Ampunkan aku Tuhan

Kerana membiar derita Palestin
Kerana masih ketawa gembira
Sedang Palestin tak kering airmata
Sedang Palestin tak kering darah
Sedang Palestin dah tak berumah
Sedang Palestin dah tak beribu tak berbapa
Sedang Palestin kesejukan di malam dingin
Aku kehangatan berselimut tebal
Lena dibuai mimpi-mimpi

Sunday, January 25, 2009

Aku Ingin....

Aku ingin belajar mencintaimu
Mula merindui senyumanmu
Melihat kegembiraanmu
Menjadi teman mengiringi
langkah-langkah hari esokmu

Aku ingin belajar menjadi pendengarmu
Menghayati segala cerita masa silammu
Memimpin cita-cita hari esokmu
Mendendang puisi tidurmu
Menjadi penawar luka hatimu

Aku ingin belajar menyayangimu
Sepertimana aku menyayangi diri sendiri
Mempertahankan bila tenangmu diancam
Membela bila maruahmu dihina keji

Biar kita tak pernah bersua
Aku tahu kau perlukan juga cintaku
Biar tak pernah kau luahkan
Aku tahu bunyi simpati hatimu
Sampai aku pasti
tersenyum bibir manismu
Melihat pagi meniti hari
Tiada derita tiada sengsara

Biar kita tak pernah bersapa mesra
Akan tetap aku balut luka hatimu
Biar tak mampu menghilang duka
Ku iringkan doa mengadu rayu
Biar hilang deritamu
lenyap segala gelisah hatimu

Menatap gambar-gambarmu
Aku menjadi sayu
Mengenang-ngenang andai ada
memori menghitung bintang di langit
Mengira-ngira pengorbanan dan keikhlasan

Aku tahu tak pernah ada
kenangan manis antara kita
Aku tahu
Aku mengenalmu dengan sejuta
cerita-cerita duka parut-parut luka

Aku mengerti
Mencintaimu satu kewajiban
Haram aku membencimu
Dosa bila tak menahan tangan zalim
melempar api padamu

Aku pasti
Jauh kita hanya jarak kilometer
Hati kita masih menyatu
Dari hidup di sini sampai
abadi bahagia di syurga

Biar aku tak pernah mampu
Memberi lebih dari sekadar
sebuah puisi hambar
Aku ingin membuktikan pada ilahi
Ikatan luhur kita simpulan abadi

p/s =
** hulurkan harta panjangkan doa untuk saudara kita di Palestin
** Boikot tetap boikot

Saturday, January 17, 2009

Mahu Kau Tahu Semua Cerita

Takkanlah setitis air mata pun tak pernah jatuh,
Takkanlah sesaat sedih pun tak pernah terasa,
Takkanlah sekelumit resah pun tak pernah ada,
Takkanlah sedetik pilu pun tak pernah hadir,

Sekeras mana agaknya hati kau,
Sepejal mana agaknya jiwa kau,
Sekejam mana agaknya diri kau,
Sebesar mana agaknya ego kau,

Takkanlah sengsara aku ini tak boleh kau rasa,
Takkanlah rintihan aku ini tak boleh kau dengar,
Takkanlah luka aku ini tak boleh kau lihat,
Takkanlah derita aku ini tak boleh kau mengerti,

Air mata tak pernah dapat berhenti,
Terjerit melolong menahan seksa zahir dan batin,
Melilau mata mencari-cari kalau di situ ada tenang,
Berlari-lari lelah mahu dikisahkan segala kekalutan,

Mahu kau tahu semua cerita,
Mahu kau dengar semua keluh hati,
Mahu kau mengerti semua rayu,
Mahu kau memujuk semua rajuk,

Dah lama bukan sehari,
Sejarah pun tak pernah berhenti mencatat,
Dah lama bukan seminggu,
Penglibur lara saja tak pernah penat bercerita,

Cinta apa itu?
Bohong belaka atau sekadar manis bibir?
Sayang apa itu?
Memandang pun malas
Inikan pula mahu berpimpin tangan,
Menarik lengan memeluk tubuh,

Dia saudara aku,
Sama darah dengan kau,
Dia ada hati perasaan,
Sama macam kalbu satu-satunya milik aku,

Berceritalah pada semua yang kenal,
Bercelotehlah pada semua yang tahu,
Membebellah pada semua yang tuli pekak,
Beria-rialah macam gembira bulan jatuh ke riba,

Suakanlah jemari, sekadar mampu yang ada,
Hulurkanlah tolong, sekadar kudrat yang bersisa,
Nikmat sikit pun bantulah jua,
Syukur kita, simpati kita, hanya seteguk air sejuk pun,
Mereka anggap emas sebesar Gunung Uhud.

Tamat....

Saya harap puisi ini membuka mata hati kalian,
Untuk bangun dan bangkit membantu saudara kita,
Di Palestin.
Hulurkan derma,
Boikot produk Amerika dan sekutunya,
Doa kita sangat membantu mereka.

Assalamualaikum...

Bismillahirrahmanirrahim.
Pujian yang teragung untuk Allah.
Segala puji hanya Dia yang layak.
Segala ciptaan milik Dia.
Dialah yang memberi makan dan minum.
Dialah yang tahu segala sesuatu.
Selawat untuk junjungan mulia.
Dialah yang telah diwahyukan Kalam pembeza benar dan batil.
Dialah yang telah memecahkan segala berhala dalam hati manusia.

Aku, zulkarnain insan yang sangat berkehendak kepada hidayah Allah.
Rahmat dan ampunan Dia menjadi rayuan setiap saat.
Melihat lemah diri yang penuh dengan dosa dan noda.
Merenung ciptaan mencari Keagungan Kudrat dan Iradat Dia.