Monday, September 21, 2009

SALAM AIDILFITRI


SALAM UNTUK SEMUA....
TERUTAMA BUAT MAK DAN ABAH, ISTERI TERSAYANG, IBU MERTUA, ADIK-BERADIK, IPAR DUAI, RAKAN-RAKAN DI SDAHA, RAKAN DI SMPL DAN SEMUA RAKAN SERTA SAUDARA YANG MENGENALI DIRI SAYA........

MAAF ZAHIR DAN BATIN

Saturday, September 19, 2009

Puisi Akhir Ramadhan - Gembira Penuh Kesyukuran

Biar semua manusia kata aku gila
Tapi aku terlalu bahagia
Aku terlalu gembira
Sampai-sampai aku jadi tersenyum sendiri
Kerana nikmat iman dan amal soleh takkan sama dengan segala nikmat anugerah ilahi yang lain

Biar semua manusia kata aku membuang masa
Meninggalkan senang-senang di rumah
Meninggalkan ketawa menonton filem lucu
Meninggalkan dakapan mesra isteri
Aku terlalu bahagia
Walau sekadar hanya setitis tangisan ketakutan dan kengerian terhadap dahsyatnya akhirat yang mengalir
Walau takkan tercapai pun darjat kesolehan para Nabi dan Rasul
Walau takkan sedebu pun amal para sahabat mampu aku tandingi
Tapi aku gembira
Tapi aku syukur
Walau sedikit sekali tetapi itu nikmat Ilahi
Yang mesti aku syukuri

Wahai Allah! Jadikanlah aku termasuk dalam golongan yang hidup hatinya
Walau sedikit qiamku
Wahai senafas zikirku
Walau setitis tangisanku
Kerana hanya itulah yang mampu aku lakukan

Wahai Allah! Jadikanlah aku termasuk dalam golongan yang hidup hatinya
Yang berlumba-lumba meraih kurnianMU di malam Lailatul Jaizah
Sedang hati-hati manusia lain mati
Kerana terlalu sibuk mempersiapkan syawal
Sampai airmata ketakutan terhadap azabMU pun lalai mahu dititiskan

Wahai Allah! Jadikanlah Ramadhan ini yang terbaik bagiku berbanding yang dulu-dulu
Wahai Allah! Terimalah imanku
Wahai Allah! Terimalah amalku
Jadikanlah aku termasuk dalam golongan yang sedikit
Jadikanlah aku termasuk dalam golongan yang berharap benar kepada Jannah FirdausMU
Jadikanlah aku termasuk dalam golongan yang terlalu takutkan pedihnya azab nerakaMU

SELAMAT DATANG EIDUL FITRI
SELAMAT DATANG EIDUL FITRI

Puisi Akhir Ramadhan - Tangisan Sedih

Aku duduk sendiri di malam sepi di satu sudut kesunyian
Tiada suara hingar bingar siang
Celoteh bising manusia pun tak kudengar
Aku ingin benar mengadu padaMU kelemahan dan kekurangan diri
Kerana tidak ada pendengar yang paling baik dan sempurna melainkan Zat Yang Ghafur dan Tawwab
Kerana Ramadhan pergi dengan haknya aku masih abaikan seperti masa yang lampau

Aku ingin sekali menangis teresak-esak bagai anak kecil menagih susu ibunya
Bagai hamba sahaya merayu belas kasihan daripada tuannya
Kerana DIAlah ar-Rahim yang penuh rahmat
Kerana DIAlah al-Alim yang luas tak berbatas ilmu-NYA
Kerana aku membiarkan Ramadhan pergi sedang nafsu masih menguasai diri
Kerana aku masih tertipu janji-janji bohong syaitan

Wahai Allah! Ampunkan aku kerana sebelum Ramadhan tiba aku susun dalam diari hatiku
Seribu baris rancangan memperbaiki diri
Seribu baris azam membetulkan diri
Seribu baris niat menghidupkan malam Ramadhan dan siangnya
Kini setelah Ramadhan pergi aku jadi takut, Wahai Allah!
Bukan islah nafsi yang ku capai tetapi rosak hati dan akli pula melanda kerana terikut-ikut manisnya bisik nafsu dan syaitan

Wahai Allah! Jangan KAU jauhkan rahmat dan maghfirahMU kerana kedaifan insan ini
Kasihanilah dia yang lemah ini dengan mengukuhkan kakinya di atas jalan agama dan dakwah
Kasihanilah dia yang suka main-main ini dengan menjadikan iman dan amal soleh perhiasan hatinya
Kasihanilah dia yang tak pernah sempurna memahami agama dan dakwah ini dengan menjadikan syirik, kufur dan kefasikan serta maksiat kebencian hatinya.
Wahai Allah! Sungguh-sungguh aku merayu padaMU
Wahai Allah! Sungguh-sungguh aku mengadu padaMU

SELAMAT JALAN RAMADHAN
MOGA KITA BERJUMPA LAGI

Tuesday, September 15, 2009

Ingatan Dalam Rindu

Buat temanku Nasiruddin
Kita kenal bukan lama
Empat atau lima tahun lepas bermula bicara dan mesra
Sewaktu takdir rezeki makan minumku tertulis di sini
Tapi dirimu manusia berakal fikiran
Yang punya hak membuat pilihan hitam atau putih
Kau akhirnya memilih berpindah ke kota
Sedang aku masih di sini
Menjunjung langit yang sama

Buat temanku Nasiruddin
Dua hingga tiga tahun ini kita terlalu jarang bertemu
Entah sentuhan istimewa apa yang ada dalam silaturahim ini
Kadang-kadang aku merindumu
Khusyuk aku bila mendengar berita-berita tentangmu
Teringin benar bertemumu
Mengajakmu minum secawan dua kopi di warung dekat rumahmu
Tapi kita dah terlalu jarang bertemu
Kau terlalu sibuk dengan urusan untung rugimu
Aku terlalu sibuk dengan urusan baca hitungku

Buat temanku Nasiruddin
Ada satu masa di hari yang hampir meniti senja
Aku melewati satu kedai photocpoy
Terpandangmu sedang berurusniaga dengan pemilik kedai
Aku menyapamu
Kau sambut sapaanku dengan mesra
Itulah kali terakhir aku memandangmu
Dan aku tak sangka itulah sapaanmu yang terakhir

Buat temanku Nasiruddin
Sudah dua minggu kita berpuasa di bulan Ramadhan 1430H
Pada hari Sabtu yang biasa sahaja bagi aku
Aku berbuka puasa di Madrasah Hafiz Batu Pahat
Bila aku terima berita pemergianmu ke alam abadi
Aku hilang kata
Aku hilang rasa
Seluruh akal dan hatiku dipenuhi rasa terkejut

Buat temanku Nasiruddin
Pagi Ahad keesokan harinya
Aku menziarahi jenazahmu di Felda Keratong 9
Aku sentuh dengan tangan berdosaku ini
Dahimu yang terlalu dingin

Buat temanku Nasiruddin
Cerita hembusan nafas terakhirmu
Bermula di sungai tempat kau menjaring ikan
Di satu jambatan di jalanraya antara Segamat-Kuantan
Beberapa jam sebelum jenazahmu ditemui lemas
Kau hilang kawalan diri
Kau terperosok ke dalam satu lubang di tengah-tengah sungai
Kau lemas
Itulah asbab untuk takdir matimu

Buat temanku Nasiruddin
Kau pergi di bulan mulia Ramadhan
Mungkin itulah takdirmu
Di dunia kau dimulia Tuhan
Kerana otakmu mampu menghafaz al-Quran yang 30 juzuk
Bila pergi tak kembali lagi
Kau tetap dimulia ilahi
Kau pergi di bulan rahmat, maghfirah dan kesabaran

Buat temanku Nasiruddin
Moga Allah jadikanmu termasuk dalam golongan soleh
Moga Allah menggantikanmu keluarga yang lebih baik daripada keluarga di dunia
Moga Allah meluaskan tempat persemadian di alam barzakh
Moga Allah menempatkanmu di syurga tertinggi, jannatul firdaus