Sunday, May 31, 2009

Sesuatu

Ada sesuatu
Kalau aku cari pasti bertemu
Kalau aku selami pasti kufahami
Kalau aku buka semua rahsia pasti bahagia

Memang ada sesuatu
Yang selalu ku gagahkan hati membuka bicara
Tentang semua cerita bahagia
Aku mahu kongsi dengan setiap orang

Sesuatu yang ada di sini
Paling dalam di dasar hati
Paling nyata dalam sinar mata
Dalam tidur dalam jaga
Dalam diam dalam jerit pekik

Sesuatu itulah yang paling istimewa
Aku benar-benar bahagia
Kadang dunia dirasakan hilang harga
Kadang aku lenyap dalam bahagia itu
Dunia jadi kosong kubiarkan tak ku kisah segala

Aku paling berharap sesuatu itu takkan hilang
Takut nanti aku jadi hilang arah
Kiblat hati jadi goyah
Petunjuk jiwa jadi bengkak bengkok

Biarlah dengan aku ia bersatu
Bagai aur dengan tebing
Bagai pantai dengan ombak
Bagai garam dalam masakan

Saturday, May 16, 2009

Selamat Hari Guru

Buat semua guru yang pernah mendidikku secara langsung atau tidak langsung
Buat semua guru yang pernah mendidikku mengenal A B C dan alif ba ta
Buat ayahku seorang pesara guru
Buat ayah dan ibuku yang menjadi guruku sejak hari pertamaku menarik nafas di dunia
Buat ibu mertuaku seorang pesara guru
Buat isteriku, abangku, adikku dan ipar duaiku yang sedang berkhidmat sebagai guru
Buat semua rakan guru yang mengenaliku
Buat semua bekas muridku yang menjadi guru
Buat semua bekas muridku yang sedang menuntut dan akan menuntut di bidang perguruan
WAHAI GURU! ANDA SEMUA ADALAH PEMBINA NEGARA BANGSA.

Monday, May 11, 2009

MALAM - PAGI - PETANG

Malam datang
Langit pun jadi gelap
Matahari hilang bersama terang
Bintang pula berkilauan
Bergemerlapan mengasyik mata-mata yang memandang
Bulan dari dulu memang memukau
Bukan sekadar mata, jiwa turut terpesona

Pagi pula menjelma
Terangnya masih suram
Gelapnya sudah hampir hilang
Udaranya begitu segar dihirup
Bayunya begitu nyaman bertiup
Langit hitam semakin cerah
Hari semalam dah tiada
Entah apa yang singgah menunggu nasib hari ini

Siang berteman panas
Terik, bahang, peluh, hangit
Bagai menyanyi, menari berirama keroncong dan dangdut
Begitu harmoni sampai tekak jadi kering
Kepala pula berdenyut memaksa kaki menapak
Melilau mata mencari teduhan redup
Nanti panas dah dingin
Nanti keringat dah kering
Nanti tekak dah basah
Sambung lagi sibuk-sibuk kerja
Menunggu mentari redup
Tanda masa pulang merehat tubuh

Hidup kita bukan sekadar menari-nari di pagi hari
Bersiul-siul melangkah semangat mencari rezeki
Mengeluh-ngeluh lambatnya petang nak balik tidur
Marah-marah bila kopi biasa air panasnya lupa dididih

Hidup semalam akan disoal
Hidup esok belum pernah ada orang tahu
Setiap butir bibir bicara
Setiap kaki melangkah menapak
Setiap kerdipan mata memandang
Setiap teliti telinga mendegar
Semua ditanya tak satu pun terlepas

Hidup untuk esok yang abadi
Bukan puluh-puluh tahun di bumi
Tanam itu entah merasa manis buahnya entah tidak
Menyimpan sesen dilubuk duit entah merasa kaya melabur entah tidak

Tuesday, May 5, 2009

AKU INGIN MENCINTAI DIA

Aku ingin mencintai dia
Dengan sepenuh hati
Jiwa dan raga jadi gadaian
Hidup dan mati jadi taruhan

Aku ingin mencintai dia
Melebihi segala makhluk ciptaan Ilahi
Biar ibuku menangis
Biar bapaku berdarah
Biar abangku jadi korban
Biar adikku jadi yatim
Biar isteriku menjadi janda

Aku ingin mencintai dia
Menjadi seperti dia
Bicara seperti dia
Berfikir seperti dia
Biar aku dan dia bersatu
Dalam rasa di jiwa
Dalam tingkah dan laku

Aku ingin mencintai dia
Merindui dia
Menyayangi dia
Mengasihi dia

Aku ingin mencintai dia
Selagi ajal belum sampai
Selagi nafas masih berdenyut
Selagi jantung masih berdetak

Aku ingin mencintai dia
Ingin dia mencintaiku
Ingin dia merinduiku
Ingin dia tahu aku di sini untuknya
Ingin dia di sana menungguku

Aku ingin mencintai dia
Bersama dia saat suka dan duka
Biar masa menjarakkan aku dan dia
Biar ruang memisahkan aku dan dia
Aku tetap ingin mencintai dia

Aku ingin mencintai dia
Moga cintaku direstu ilahi
Moga cintaku bukan palsu
Moga kasihku bukan dusta
Moga rinduku bukan khayal

Thursday, April 30, 2009

Coretan Biasa Dari Seorang Guru Biasa I

Sekolah pertama saya mengajar ialah SMK. Asajaya, Samarahan, Sarawak. Itu sekolah tempat saya praktikum. Itulah pertama kali saya mengajar, berada dalam suasana sebenar sekolah. Belajar menyayangi murid. kadang2 dibenci. kadang disukai. Rasa macam artis pun ada. SMK. Asajaya!!!! Kau selalu di hati. I Love U. Rindunya dengan Kota Samarahan. Bilalah agaknya akan bertemu lagi.

Rupanya pengalaman belajar di maktab dan praktikum mengajar sama sekali tak sama dengan dengan suasana sebenar bila dah jadi guru.

SMK. Dato' Ali Hj. Ahmad (SDAHA), Pontian, Johor adalah antara lambakan kenangan manis dalam sejarah hidup saya.

Saya belajar tersenyum dengan murid, mengamuk, marah-marah, bergurau senda, ada target yang hendak dicapai, mengaplikasikan ilmu di maktab dan sebagainya. Semuanya bermula di SDAHA. Saya mula mengenal erti ini gaji saya, ini duit saya. alhamdulillah.

Saya berkahwin dengan gadis pilihan hati saya dengan restu ibu bapa. Semua cinta, kasih, sayang dan rindu yang disemai akhirnya bersatu dalam majlis yang ringkas tetapi cukup meriah.

Impian nak kahwin dengan cara yang paling simple dan tak nak bersanding tercapai.

Tetapi, sungguh saya tak sangka rupanya perkahwinan saya dengan isteri, Ustazah Siti Nazliah Abadiah bte Rosli, melakarkan sejarah baru yang tak terduga.

Atas persetujuan bersama, saya memohon untuk pindah ke daerah Segamat. Tepatnya, di borang permohonan pindah tu, saya tulis nak pindah ke SMK. Palong Timur, Segamat,Johor. Sedangkan ruang borang tu hanya memerlukan saya menulis daerah yang dipohon untuk berpindah. Semuanya atas dasar cinta dan tanggungjawab suami kepada isteri tersayang.

Dengan seribu debaran, saya melangkahkan kaki ke SMK. Palong Timur, Segamat, Johor (SMPL). Pengalaman baru, murid baru, suasana baru, rakan sekerja baru dan semuanya serba baru. Azam pun baru.

Pejam celik. Pejam celik. Tak sangka sudah masuk tahun ke-5 saya di sini dan tak pernah walau sekali isi borang mohon pindah. Saya bahagia di sini. Saya gembira di sini. Mungkin sampai pencen di sini.

2004 , tahun keramat buat saya kerana saya diperkenalkan dengan Felda Palong Timur. Andai diizin ilahi, nak sangat saya mengajar di sini saya pencen.

2001, tahun keramat dan rahmat buat saya kerana itulah my first posting. Yang pertama takkan sama dengan lain. Ia kenangan. Ia sejarah. Ia terindah. Andai diizin ilahi ingin ku kembali berbakti di SDAHA.

bersambung................... edisi akan datang (Coretan Biasa Dari Seorang Guru Biasa II)

Saturday, April 25, 2009

SEMUANYA KERANA KAU

Kerana Kau jantungku berdetak
Kerana Kau nafasku hela
Kerana Kau darahku mengalir
Kerana Kau hatiku berdebar
Kerana Kau jiwaku bergelora

Kerana Kau aku bercinta
Kerana Kau aku merindu
Kerana Kau aku menyayangi
Kerana Kau aku mengasihi

Kerana Kau aku hidup
Kerana Kau aku berdiri
Kerana Kau aku bersemangat
Kerana Kau aku masih di sini

Kerana Kau aku merasa bahagia
Kerana Kau aku merasa teruja
Kerana Kau aku jadi gembira
Kerana Kau aku jadi ceria

Kerana Kau dukaku hilang
Kerana Kau lukaku terubat
Kerana Kau sepiku lenyap
Kerana kau gundahku jadi damai

Aku ingin celik mataku ada Kau
Aku ingin pejam mataku ada Kau
Aku ingin bermimpi dalam cintaMu
Aku ingin terjaga dalam rinduMu

Aku tenang menyebut namaMu
Aku damai mengingati kasihMu
Aku ingin tiap bicara hanya tentangMu
Aku ingin tiap suara hanya menyebutMu

Bila semua pena kering tintanya
Bila syukur dikumpul semuanya
Bila tiap detik masa berlalu hanya dalam merinduMu
Bila semua harta kubiarkan hanya untuk meraih cintaMu
Tapi takkan pernah cukup
Tapi takkan pernah memadai
Kerana Kau bermula cerita-cerita aku

Aku telalu takut cintaMu pergi
Tinggalkan aku sendirian di bumi ini
Aku takkan pernah sanggup
Bila salahku tiada maaf lagi dariMu
KasihMu yang ku rayu
MaafMu yang ku rayu

Tuesday, April 14, 2009

Mencari Makna Hidup

Dalam timbunan cerita lama
Dalam menempuh fasa usia
Dalam serakan sejarah takwim masa
Dalam himpunan kisah lakonan dan tontonan
Apakah punya makna aku bediri di sini?

Dalam cerita-cerita lucu penuh tawa
Dalam babak-babak sedih penuh tangis
Dalam adegan penuh kebencian
Dalam percintaan penuh kerinduan
Apakah punya makna aku berdiri di sisi?

Dalam hiruk-pikuk bising kota
Dalam sunyi sepi hening desa
Dalam sejuk segar angin pagi
Dalam lelah letih bayu senja
Dalam puas menongkat langit
Apa lagi yang tertinggal belum digapai?

Dalam mesra menyapa
Dalam senyum bibir menguntum
Dalam muram riak wajah
Dalam sungut marah murka
Dalam ketawa melakar gembira
Dalam rintih hiba tangisan sendu
Sekadar itukah hidup aku?


Dalam cerita dikongsi bicara
Dalam kisah sembunyi di hati
Dalam angan melakar harapan
Dalam gurau menghilang duka
Dalam menung memendam rasa
Cukupkah semua itu buat aku?

Dalam bangga impian dah capai
Dalam ceria angan dah nyata
Dalam bimbang petaka mengekor takdir
Dalam takut menafsir mimpi
Dalam kalut dikejar bayang dosa
Sudahkah aku temukan makna?

Lorong-lorong menuju jalan esok masih bersimpang siur
Masih merakam seribu satu rahsia
Masih menyimpan warna makna hidup
Masih membuka pintu harap
Masih melebar sayap cita
Masih menebar jala angan
Terdampar di pantai dosa
Berdiri mendepa tangan di puncak makna
Itu masih pilihan hati dan akli sendiri